06 April 2010

2 Beradik Ditikam Ibu Sendiri

ZAHIRUL Imran Hamidon (baring) dan Mohd Hazim Irshad dirawat di Hospital Batu Pahat selepas menerima beberapa jahitan akibat cedera ditikam dengan gunting.


BATU PAHAT: Dua beradik lelaki cedera ditikam ibu mereka yang dalam pantang dengan sebilah gunting ketika mangsa sedang nyenyak tidur di rumah mereka di Bandar Putra Indah, Tongkang Pechah di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3 pagi, ibu kanak-kanak berkenaan yang dipercayai mengalami tekanan mental, dikatakan memasuki bilik tidur mangsa sebelum menikam belakang badan Zahirul Imran Hamidon, 10, dan Mohd Hazim Irshad, 8, manakala seorang lagi anaknya berusia enam tahun tidak dicederakan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris, berkata ketika kejadian bapa kanak-kanak itu – seorang jurutera berusia 40 tahun, juga sedang tidur dan terkejut apabila mendengar jeritan serta tangisan anaknya.

Beliau berkata, bapa mangsa meluru ke bilik anaknya dan mendapati isterinya yang berusia 39 tahun sedang memegang gunting.

Ibrahim berkata, selepas menenangkan isterinya, jurutera itu kemudian menelefon polis bagi mendapatkan bantuan.

Dua beradik itu dikejarkan ke Hospital Batu Pahat (HBP) dan menerima beberapa jahitan, manakala ibu mereka ditahan dan kini ditempatkan di Wad Psikatri HBP.

Ibrahim berkata, siasatan mendapati suri rumah itu mengalami tekanan mental dan pernah beberapa kali cuba membunuh diri, tahun lalu.
"Suspek baru melahirkan anak kelimanya, kira-kira dua minggu lalu, iaitu satu-satunya bayi perempuan dalam keluarga itu, tetapi bayi berkenaan mengalami Sindrom Down. Seminggu lalu pula, bapanya meninggal dunia,” katanya ketika melawat dua beradik itu di Wad Kanak-Kanak HBP di sini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata.

Sementara itu, ibu saudara mangsa, Hamidah Amin, 46, berkata beliau bergegas ke hospital apabila diberitahu adiknya mengenai kejadian itu.

"Saya tidak menjangka kejadian seperti ini akan menimpa keluarga adik saya, terutama anak-anaknya. Adik saya pernah membawa isterinya menjalani beberapa rawatan bagi menangani masalah tekanan yang dihadapi.

"Saya ingat keadaan sudah pulih apatah lagi selepas rawatan itu, isterinya hamil dan baru melahirkan anak perempuan pada 26 Mac lalu. Saya tidak pasti sama ada kelahiran itu dan kematian ayahnya 31 Mac lalu, menjadikannya tertekan kembali," katanya.

Hamidah berkata, pasangan itu mempunyai lima anak – empat lelaki dan seorang perempuan, tetapi anak sulung yang berusia 13 tahun tinggal di asrama penuh.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal