02 April 2010

Isu Kartika : Kita Perlu Yakin Dengan Undang-undang Allah



Khidmat masyarakat: Peguam Muslim bantah

Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) hari ini menzahirkan perasaan dukacita mereka dengan arahan Sultan Pahang yang meringankan hukuman sebatan syarie ke atas bekal model Kartika Sari Dewi Sukharnor kepada perintah menjalankan kerja khidmat kemasyarakatan.

Menurut PPMM, titah Sultan itu langsung tidak mengambil kira hasrat dan kemahuan Kartika yang sebelum ini mahu disebat secara syarie atas kesalahannya itu dilaksanakan.

Kartika ditahan pihak berkuasa ketika minum arak di sebuah resort di Cherating pada 11 Julai 2008 dan selepas mengaku bersalah, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan.

“PPMM yang mewakili lebih seribu ahli yang berkelulusan undang-undang dan syariah khuatir titah perintah ini tidak mempunyai keabsahannya di sisi undang-undang kerana walaupun bertindak sebagai ketua agama negeri KDYMM Sultan Pahang seharusnya mempertahankan undang-undang Islam serta memperkukuhkan institusi mahkamah syariah.

“Hak dan kuasa sebagai ketua agama hendaklah dijalankan mengikut hukum agama itu sendiri,” menurut kenyataan media yang dikeluarkan di Bangi, Selangor.

Kata PPMM lagi, undang-undang Islam telah menetapkan secara definitif hukuman bagi kesalahan meminum arak.

“Walaupun sebatan syarie sebanyak enam kali itu tidak mencapai jumlah yang ditetapkan oleh hukum syarak, namun ianya hendaklah dilaksanakan juga kerana ia lebih hampir kepada hukum syarak.”


Sebatan syarie amat ringan

Menurut PPMM, mereka juga musykil peringanan hukuman itu yang didakwa berasakan faktor kemanusiaan sedangkan hukuman berkenaan sendiri adalah amat ringan dan mempunyai falsafahnya yang tersendiri.

“Sebatan syariah amat berbeza dengan sebatan sivil yang mencedera dan menzalimi pesalah. Sebatan syariah lebih bersifat mendidik sebagaimana bapa mendidik anaknya,” kata kenyataan itu.

PPMM berkata undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri dan diperkenan oleh Sultan memperuntukkan kaedah peringanan hukuman bagi pesalah syariah.

“Peringanan hukuman bagi kesalahan syariah pula hendaklah dibuat atas nasihat Mufti. Mufti pula bertanggungjawab menasihati DYMM Sultan berdasarkan hukum syarak.

“Dalam hal yang demikian PPMM tidak dapat menggarap peruntukan yang manakah terpakai kepada peringanan hukuman kepada kerja kebajikan ini,” kata kenyataan itu.

Menurut PPMM lagi, tindakan beberapa ahli-ahli politik termasuk menteri-menteri dan kumpulan NGO lain berhubung isu itu jelas membelakangkan undang-undang Islam dalam pendirian mereka mengaut keuntungan politik atau populariti.

“Setiap undang-undang yang ditetapkan oleh Allah itu mempunyai falsafahnya yang tersendiri dan kadang-kadang menjangkaui logik akal manusia. Oleh itu, kita tidak boleh menggunakan akal fikiran sendiri bagi menandingi ketetapan Allah itu.” - malaysiakini


Mufti: Sebat Kartika bukan Hudud, boleh dipinda

Sultan Pahang berhak meringankan hukuman terhadap Kartika Sari Dewi Sukharnor kerana bekas model itu tidak dibicarakan mengikut hukum hudud “yang bersifat tetap dan tidak boleh dipinda”, kata Mufti Perak.

Tan Sri Harussani Zakaria (kanan) berkata, hukuman sebatan yang dijatuhkan terhadap Kartika sebelum ini bukanlah hukum hudud, sebaliknya hanya takzir yang tertakluk kepada pindaan oleh pemerintah.

“Hukuman hudud menetapkan 80 rotan (kepada pesalah yang meminum arak). Tetapi hukuman yang dijatuhkan terhadap Kartika tidak sampai kepada hukum hudud.

“Ia hanya takzir yang boleh diubah. Hukum hudud tidak boleh diubah sama sekali,” katanya.

Harussani diminta mengulas kenyataan Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) yang dukacita terhadap perintah Sultan Pahang yang berkenan menggantikan hukuman sebat terhadap Kartika dengan kerja-kerja khidmat kemasyarakatan.

Menurut persatuan tersebut, perintah tersebut tidak mengambil kira hasrat Kartika yang mahu disebat secara syarie dan ia “dikhuatiri tidak mempunyai keabsahannya di sisi undang-undang”.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini Harussani berkata, menurut peruntukan takzir, pemerintah atau sultan mempunyai hak untuk mengubah peruntukan-peruntukan dalamnya.

Undang-undang kesalahan jenayah syariah terbahagi kepada tiga, iaitu hudud, qisas dan takzir.


Undang-undang mesti dijalankan dengan tegas

Peruntukan hudud melibatkan enam kesalahan iaitu murtad, minum arak, berzina, mencuri, merompak dan qazaf. Manakala qisas pula hukuman balas, seperti pembunuh akan dibunuh balas.

Kategori takzir pula kesalahan selain daripada hudud dan qisas yang mana hukumannya tertakluk kepada budi bicara pemerintah.

Sementara itu, bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin (kiri) mempunyai pandangan yang berbeza apabila khuatir peringanan hukuman terhadap Kartika mengambarkan “seolah-olah kuasa raja mengatasi undang-undang”.

“Mungkin dalam kes Kartika ini (peringanan hukumannya) nampak positif. Tetapi esok-esok dikhuatiri boleh berlaku perkara lain pula.

“Kita bimbang nanti kerabat dan orang kenamaan yang melakukan kesalahn juga diampunkan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Dr Mohd Asri berkata, menurut pengalaman dalam sejarah Islam, pelaksaan sesuatu hukuman yang dijatuhkan mahkamah mesti dijalankan dengan tegas walaupun melibatkan sesiapa sahaja.

Katanya, terdapat satu kes pada zaman Rasullaah, seorang penzina daripada golongan bangsawan tidak diampunkan walaupun setelah merayu.

Tambahnya, penegasan terhadap keperluan melaksanakan hukuman tergambar dalam sabda Rasulullah: “Jika anakku Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku potong tangannya.”


Ulasan Ringkas

1. Sememangnya hukuman 6 sebatan yang diputuskan sebelum ini bukanlah hukuman hudud. Kalau nak kata takzir, kenapakah tidak dilaksanakan hudud? Takzir memang hak pemerintah, tetapi hudud itu hak Allah.

2. Kuasa pengampunan raja atau sultan hanya terhad kepada hukuman takzir. Hukuman hudud tidak boleh diringan-ringankan oleh sesiapa. Hakikatnya Malaysia masih belum bersedia untuk berubah. Ragu-ragu, nak buat Islam ke tanak..

3. Dibimbangi selepas ini hukuman hudud akan diperlecehkan dan dipermainkan oleh sebilangan pihak. Ini terjadi apabila hukuman 6 sebatan masih tidak dapat mengurangkan kadar jenayah. Lalu masyarakat akan mentohmah bahawa undang-undang Islam pun belum boleh mengatasi, walhal 6 sebatan itu belum dikatakan sebagai hudud.

4. Satu lontaran kepada semua, kenapa tidak yakin dengan undang-undang Allah? Jawablah sendiri.

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

Artikel Popular

Dairy

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal