05 April 2010

Perompak Sanggup Tembak Kawan Sendiri


KUALA LUMPUR: Akibat mahu memastikan rakannya tidak 'memecahkan tembelang mereka', seorang perompak sanggup menembak mati rakannya itu yang cedera dalam satu kejadian rompakan di sebuah kedai emas di Plaza OUG di sini.

Terdahulu, perompak malang itu cedera parah selepas ditembak oleh seoranng pengawal keselamatan kedai barang kemas terbabit.

Selepas melaksanakan 'tugasnya' perompak kejam itu melarikan diri dengan lapan dulang emas.

Dalam insiden pada pukul 2.45 petang itu hari ini, dua penjenayah bersenjata itu menyerbu masuk ke kedai barangan kemas itu yang terletak di aras bawah kompleks membeli-belah terbabit sebelum berdepan dengan salah seorang pengawal keselamatan yang duduk di hadapan kedai itu.

Mereka merampas pump-gun milik pengawal terbabit sebelum mengarahkan para pekerja mengangkat beberapa dulang berisi barangan kemas ke dalam beg plastik yang dibawa mereka.

Pada ketika itu, terdapat empat orang pekerja di dalam kedai berkenaan.

Bagaimanapun, penjenayah terbabit tidak menyedari terdapat seorang lagi pengawal keselamatan bersenjata di belakang cermin sehala di dalam kedai berkenaan yang memerhatikan gelagat mereka sebelum melepaskan tembakan tepat ke bahagian perut sebaik sahaja perompak terbabit mahu melarikan diri.

Penjenayah yang cedera itu kemudian tumbang tidak jauh dari kedai tersebut.

Sebaik melihat rakannya tumbang, penjenayah yang berada di depan berpatah balik sehingga menakutkan orang ramai sebelum melepaskan dua das tembakan kepada rakannya yang terbaring itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Sabtu Osman berkata, perompak yang menembak mati rakannya menghilangkan diri dengan sekurang-kurangnya lapan dulang barangan kemas.

“Penjenayah bersenjatakan Revolver .38 dan sangat berbahaya yang sanggup membunuh sesiapa sahaja termasuk rakannya.

“Siasatan awal mendapati perompak yang mati berusia 34 tahun dan memiliki dua rekod jenayah lampau iaitu samun bersenjata dan penyalahgunaan dadah," jelasnya.

Tambah beliau, polis akan mengedarkan fotofit perompak yang melarikan diri selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

0 comments:

Post a Comment

Artikel Popular

Dairy

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal