02 June 2010

Mangsa Menceritakan Detik-detik Diserang Zionis


Kesemua 12 rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Mavi Marmara yang diserang tentera rejim Yahudi Israel dua hari lepas mengibarkan Jalur Gemilang setelah dibebaskan rejim tersebut hari ini. Mereka yang ditahan ketika menyertai konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza kini dalam perjalanan ke kedutaan Malaysia di Jordan. - Foto BERNAMA


PETALING JAYA: "Kami diserang bertubi-tubi oleh komando yang naik ke atas kapal. Saya dan Shamsul (jurukamera, Shamsul Kamal Abdul Latip) terselamat tetapi dua sukarelawan yang berada di tepi kami terkena tembakan di tangan dan bahu."

Demikian cerita wartawan penyiaran Astro Awani, Ashwad Ismail, 25, yang merupakan salah seorang daripada 12 rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Mavi Marmara yang diserang tentera rejim Zionis pagi kelmarin.

Dalam satu lintas langsung dengan stesen itu pagi ini, beliau memberitahu, tentera Israel mengepung konvoi Flotila Pembebasan itu di setiap sudut dengan menggunakan 19 bot, lapan kapal laut dan tiga helikopter perang, Apache.

Katanya, kejadian itu bermula apabila tentera Israel mengepung kapal mereka ketika ia berada kira-kira 68 batu Nautika di luar perairan Israel pada pukul 4.30 pagi.

"Tentera Israel menggunakan peluru hidup ketika menyerang kapal itu dan berdepan dengan sukarelawan yang hanya menggunakan peralatan bukan senjata.

"Jadi saya tidak nampak apa senjata tajam yang digunakan. Melainkan mereka sudah mula melepaskan tembakan, itulah senjata yang terpaksa mereka gunakan iaitu besi-besi yang terdapat di atas kapal bukan senjata berbentuk pisau, parang, pedang samurai dan sebagainya tetapi menggunakan pisau sahaja," ujarnya.

Beliau menambah, para sukarelawan hanya menggunakan air pili bomba bukan meriam air bagi mengelak komando-komando Israel menaiki kapal melalui bot-bot kecil yang telah pun mengepung Mavi Marmara.

Tambahnya, mereka diserang bertubi-tubi oleh komando yang naik ke atas kapal, bagaimanapun beliau dan Shamsul berjaya menyelamatkan diri.

"Hanya dua orang Turki di sebelah kiri dan kanan saya ditembak di bahagian tangan dan juga bahu.

"Kami kemudian lari ke kawasan lebih selamat... kami lihat ada sukarelawan yang berlumuran darah... ini pengalaman memeritkan yang berjaya membuka mata dunia apa yang berlaku. Tak sangka Israel bertindak demikian sedangkan koncoi ini membawa orang awam. Ini satu isytihar perang atas kemanusiaan," tambah beliau.

Ditanya keadaan Shamsul, Ashwad berkata, beliau selamat tetapi kedua-dua mereka terpisah selepas mereka ditahan dan digari oleh tentera Israel dan hanya ditemukan selepas dibebaskan di sempadan Israel-Jordan.

"Shamsul diarahkan duduk di tepi dan saya diarahkan turun ke bawah dan kami terpisah sejak itu dan kami dipenjarakan di Beersheba. Kami dibawa ke Ashdod. Dari Ashdod kami dibawa ke penjara di Beersheba dan dari itu kami tidak bertemu," tambahnya.

Dalam pada itu, Ashwad berkata, mereka kini berada dalam keadaan selamat tetapi keletihan.

Mereka dihantar dengan bas bersama sukarelawan dari beberapa negara lain ke sempadan Israel-Jordan dan kini dalam perjalanan ke Amman.

"Kami berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia, pihak kedutaan (di Jordan) dan masyarakat antarabangsa yang banyak berusaha untuk keluarkan kami," katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan agar mereka selamat dan mengadakan sembahyang hajat.

Mavi Marmara, sebuah kapal Turki ialah salah satu kapal konvoi Flotila Pembebasan yang membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza.

Ketika ditanya pengalaman sepanjang insiden itu, Ashwad berkata, layanan yang diterima dalam tempoh 28 jam itu mengambarkan konflik enam dekad yang dialami oleh rakyat Palestin yang tertindas.

Beliau berkata, kesemua 12 rakyat Malaysia itu akan bertemu dengan Duta Malaysia di Jordan, Datuk Abdul Malek Abdul Aziz sebelum mengatur rancangan pulang ke tanah air. Mstar/-

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal