15 April 2010

Makam Habib al Haddad : 144 Cedera Disebabkan Salah Faham


Operasi merobohkan bangunan-bangunan haram sekitar makam seorang tokoh yang dipercayai penyebar agama Islam di Jakarta Habib Hasan Muhammad Al Hadad yang lebih dikenal sebagai Mbah Priok, berakhir dengan 144 orang tercedera.

Ia berpunca daripada salah faham orang ramai yang menyangka pegawai penguat kuasa berhasrat hendak merobohkan makam itu, sedangkan mereka sebenarnya hendak membersihkan kawasan berkenaan dan membina monumen di makam itu.

Ketua Polis Daerah Metro Jaya, Wahono berkata daripada yang cedera itu, 10 orang adalah anggota polis, 69 pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan dan 53 lagi orang awam.

Tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu, katanya.

Sejak pagi semalam orang ramai cuba menghalang pegawai penguatkuasa daripada memasuki kawasan makam itu dengan membaling batu, selain menggunakan pedang samurai dan bom petrol.

Orang ramai yang terbabit turut membakar beberapa kenderaan pegawai penguat kuasa.

Akibat kejadian itu operasi petang semalam ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Makam berkenaan terletak di kawasan pelabuhan Tanjung Priok, Jakarta sejak lebih 100 tahun lalu.

Kerana ketokohan Mbah Priok, masyarakat tempatan menjadikan makam beliau sebagai tempat ziarah dan menjalankan berbagai kegiatan keagamaan. — Bernama

0 comments:

Post a Comment

Artikel Popular

Dairy

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal