04 April 2010

Menjadi Jutawan Dengan Hasil Kutip Tin Kosong



SKELLEFTEA, Sweden – Seorang lelaki berumur 60 tahun di sini memiliki kekayaan rahsia lebih AS$1.6 juta (RM5.21 juta) menerusi pelaburan di pasaran saham dengan cuma bermodalkan wang yang diperoleh daripada mengutip dan menjual tin kosong, lapor sebuah akhbar semalam.

Lelaki itu, Curt Degerman yang digelar Kurt Tin Kosong, meninggal dunia 18 bulan lalu manakala saudara-maranya bertengkar berhubung siapa sepatutnya mewarisi kekayaannya.

Sejak 40 tahun lalu, Degerman dipandang rendah oleh masyarakat kerana menyara hidupnya dengan menyelongkar tong-tong sampah untuk mencari tin kosong dan menjualnya di sebuah loji kitar semula.

Bagaimanapun, setelah dia meninggal dunia semasa berusia 60 tahun akibat serangan jantung, saudara-maranya mendapati dia memiliki wang AS$1.1 juta (RM3.58 juta) dalam satu akaun bank Switzerland.

Mendiang turut menyimpan jongkong emas bernilai kira-kira AS$378,000 (RM1.2 juta) selain wang AS$1,358 (RM4,428) di rumahnya.

Di sebalik penampilannya yang selekeh, Degerman sebenarnya seorang pelabur aktif dalam pasaran saham antarabangsa.

Selain memakan sisa makanan daripada tong sampah dan memakai sehelai kot kotor, dia akan meluangkan masa di perpustakaan awam pada setiap hari untuk mengkaji berita kewangan di akhbar.

“Dia pergi ke perpustakaan setiap hari kerana tidak membeli akhbar. Di perpustakaan itu, dia membaca akhbar kewangan Dagens Industri,” kata seorang sepupunya.

“Dia amat arif tentang pasaran saham,” tambahnya.

Jutawan itu disifatkan saudara-maranya sebagai seorang kanak-kanak genius yang berhenti sekolah kerana krisis peribadi.

Kekayaan lelaki itu akhirnya dikongsi oleh dua sepupunya dalam satu penyelesaian di luar mahkamah. ~~ Agensi

CURT DEGERMAN

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal