Pasangan berzina ditelanjangkan di Aceh
BANDA ACEH - Satu pasangan Indonesia yang ditangkap kerana melakukan persetubuhan di luar nikah diarak dalam keadaan berbogel di sebuah kampung sebelum dibelasah penduduk yang marah dan kini berdepan dihukum rotan, kata seorang pegawai pemerintah semalam.
Pasangan itu yang dikenali sebagai Bus, guru berusia 36 tahun dan pasangannya, Yus, 28, seorang suri rumah ditangkap kelmarin kerana didapati berzina di Aceh yang melaksanakan hukum Syariah.
"Penduduk kampung menyerbu rumah wanita tersebut dan mendapati pasangan itu tinggal bersama sebelum membawa mereka keluar sebelum diarak dalam keadaan bogel," kata seorang pegawai polis syariah daerah Aceh Barat, Teuku Abdurrazak.
Pasangan tersebut kemudian diikat di sebuah pondok pengawal dan penduduk yang amat marah kemudian bertindak memukul kedua-dua mereka itu dengan batang kayu dan tangan sehingga hampir nazak.
Teuku Abdurrazak berkata, jika pihak polis lambat tiba, pasangan tersebut kemungkinan akan mati dan bakal dirotan sebanyak sembilan kali. - AFP
Ulasan Ringkas
1. Ini bukan hukuman hudud. Hukuman zina bukannya 9 sebatan. Bahkan untuk orang yang sudah berkahwin sepertimana yang diberitakan, dikenakan hukuman rejam sampai mati dengan menggunakan batu, bukannya dengan membelasah.
2. Berbogel, dan tinggal bersama belum boleh disabitkan hukuman hudud sebagai pasalah zina, kecuali dengan 4 orang saksi menyaksikan penzinaan tersebut dengan jelas, atau pengakuan daripada penzina sendiri.
3. Kes di atas, kemungkinan ta'zir. Iaitu dengan menyebat sebanyak 9 kali kerana ditangkap berkhalwat dan tidak disabitkan zina. Tetapi orang ramai yang mengarak lalu memukul dengan sewenang-wenangnya si pesalah, dianggap sebagai tindakan salah. Ini kerana orang yang berhak melaksanakan hukuman, ialah mereka yang diamanahkan oleh Qadhi.
4. Berarak dalam keadaan bogel, bukan cara Islam. Islam menjaga maruah seseorang. Apabila hendak melaksanakan hukuman sebatan dalam hudud, pesalah hendaklah menutup aurat. Aurat tetap aurat walaupun dalam proses hukuman.
5. Apabila undang-undang Islam tidak dilaksanakan, maka masyarakat akan melakukan tindakan mereka sendiri. Sudah banyak terjadi kes pembunuhan sebelum dibicarakan. Ia disebabkan si keluarga mangsa rogol membuat tindakan sendiri dengan membunuh perogol anaknya. Ia disebabkan hilang kepercayaan terhadap pemerintah yang tidak melaksanakan undang-undang Islam.
6. Sekiranya terdapat kesalahan, sila tegur. Ulasan berdasarkan berita, sekiranya berita ini hanyalah fitnah, atau rekaan, maka segala ulasan yang bercanggah perlu ditolak. WaLlahua'lam.
Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
0 comments:
Post a Comment